Tetamu Allah Pada Hari Jumaat

COM_CONTENT_PUBLISHED_DATE_ON
Print

Hari Jumaat adalah penghulu segala hari atau disebut juga sayyidul aiyyam kerana mempunyai kemuliaan dan keistimewaannya di sisi Allah SWT.

Bagi umat Islam hari tersebut adalah yang amat berharga dan hari untuk beramal ibadat bagi merebut kelebihan penghulu segala hari. Berdasarkan penjelasan hadith-hadith, hari Jumaat adalah hari pertama kemunculan matahari di dunia, pada hari Jumaatlah Allah SWT telah mencipta  Nabi Adam AS, hari Kiamat akan berlaku dan Allah SWT mengizinkan ahli syurga untuk memasuki syurga. Manakala para malaikat pula menamakan hari Jumaat itu sebagai hari penambahan disebabkan banyaknya pintu-pintu rahmat dibuka di mana Allah SWT akan melimpahkan kurnia-Nya dan menabur segala kebaikan-Nya.

TETAMU ALLAH PADA HARI JUMAAT

Hakikatnya menjadi tetamu Allah SWT pada penghulu segala hari adalah saat yang istimewa kerana memberi peluang kepada sidang Jumaat untuk menilai prestasi tahap ketakwaan, membersihkan segala dosa yang dibuat secara sedar atau tidak dalam seminggu ini. Kita perlu sedar dan insaf bahawa walaupun pada zahirnya penampilan diri kelihatan cemerlang tetapi dari segi batin orang-orang yang melakukan perbuatan berdosa seperti rasuah, menzalimi manusia, menganiayai manusia, memfitnah manusia, minum arak, berzina dan sebagainya bagaikan berada di tempat yang kotor dan diselaputi dengan najis. Malah apa yang menakutkan kita ialah meninggal dunia dalam keadaan berdosa, tidak sempat bertaubat dan mati dalam keadaan kufur.

Oleh itu, insaflah dan sedarlah bahawa untuk keluar dari tempat yang bernajis atau kotor itu, maka salah satu caranya ialah kita mesti meninggalkan, menjauhi tempat yang bernajis dan mestilah mencari tempat yang suci iaitu sentiasa menjadi tetamu Allah SWT khususnya di masjid serta berdamping atau bersahabat dengan orang-orang soleh. Kemuncak ibadat bagi tetamu Allah di masjid ialah mendengar dua khutbah dan solat fardhu Jumaat. Firman Allah dalam surah al-Jumaah ayat 9:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui ”.

Perjumpaan tetamu Allah setiap minggu di atas rumah Allah mampu membaiki keimanan dan meningkatkan persaudaraan sesama muslim dan perpaduan ummah. Dalam peluang inilah umat Islam berkesempatan membincangkan isu-isu yang dihadapi dalam mencari kata sepakat. Oleh kerana besar pengaruh perjumpaan tetamu Allah ini, maka sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa uzur yang dibenarkan syarak maka mereka ini dikira sebagai orang yang lalai. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa uzur, Allah akan menutup mata hatinya” (Riwayat al-Nasa’ie)
 
Apa yang dimaksudkan uzur syarak ialah seperti hujan lebat, sakit, menjaga orang sakit, ancaman keselamatan dan uzur-uzur yang lain. Menurut Imam al-Ghazali dalam kitab  Ihya Ulumudin: pada malam dan siang hari Jumaat ada sesaat yang mulia di mana segala permohonan doa akan dimakbulkan. Saat yang mulia itu dirahsiakan. Siapa meninggal dunia pada hari Jumaat atau malam Jumaat, maka Allah mencatat untuknya pahala orang syahid dan menjaganya dari azab kubur. Manakala amalan-amalan sunat pada hari Jumaat seperti bangun pada malamnya untuk melakukan qiamullail, sujud syukur, berzikir, beriktikaf dan membaca al-Quran seperti surah al-kahfi, Yaasin, Sajjadah dan al-Mulk sebagaimana hadith Rasulullah SAW:

Bermaksud: “Barangsiapa yang membaca surah al-kahfi pada hari Jumaat nascaya Allah akan menerangi cahaya yang akan menerangi dirinya antara dua Jumaat”.
(Riwayat al-Bukhari)

Pada pagi Jumaat disunatkan bagi kita membersihkan diri dengan melakukan mandi sunat, bersiwak, memakai pakaian yang baru dan wangian. Kita juga digalakkan memperbanyakkan selawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW pada sepanjang hari tersebut. Kita hendaklah bersegera ke masjid atau sekurang-kurangnya sebelum tergelincir matahari atau sebelum masuk waktu zohor. Di sunatkan kita berjalan kaki ke masjid dan setiap langkah itu dikira sebagai penghapus dosa. Mereka yang datang paling awal ke masjid akan mendapat pahala yang besar digambarkan seperti mendapat seekor unta. Ketika memasuki masjid hendaklah melakukan sembahyang dua rakaat walaupun ketika itu Imam sedang berkhutbah. Di waktu khatib sedang berkhutbah hendaklah kita memasang telinga mendengar segala yang disampaikan dan mematuhi nasihat yang diberikan oleh khatib. Hadith Rasulullah SAW:

Bermaksud: “Barangsiapa yang berwuduk dengan sempurna kemudian ia pergi ke masjid menunaikan solat Jumaat dalam keadaan diam dan memberi perhatian sepenuhnya terhadap khutbah yang di sampaikan, maka di ampunkan dosanya pada hari tersebut dan antara Jumaat yang akan datang”. (Riwayat Muslim)

Sesungguhnya, hari Jumaat adalah hari yang penuh dengan keberkatan. Bagi mengambil peluang keemasan ini, marilah kita menjadikan dan membudayakan bersama keluarga dan anak-anak kita dengan memuliakan hari Jumaat sebagai penghulu segala hari, mudah-mudahan dengan cara ini ianya mampu memperkukuhkan institusi keluarga dan memantapkan keimanan anak-anak kita. Ini adalah amalan para nabi, wali-wali dan orang soleh. Bagaimanapun, oleh kerana kesibukan urusan dunia dan pengaruh sosial, kadangkala menyebabkan kita lupa tentang kemuliaan hari Jumaat. Malah apa yang menyedihkan kita ialah terdapat di kalangan umat Islam menjalankan pula aktiviti pada malam dan hari Jumaat yang menyemarakkan lagi gejala sosial.

Kesimpulannya, seluruh umat Islam harus segera meningkatkan ketakwaan kita dengan mengamalkan segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya. Ingatlah bahawa kematian akan datang bila-bila masa, tiada siapa pun yang dapat meramalkan berapa lama tempuh hidup seseorang. Orang muda tidak boleh yakin bahawa dia akan hidup lama kerana semua orang tahu kematian itu tidak bertarikh, bayi dalam kandungan pun menemui ajal sebelum dilahirkan dan kesihatan yang dikawal rapi pun tidak akan memanjangkan usia seseorang. Oleh kerana ajal  itu datang tanpa memberi tahu terlebih dahulu, maka sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita agar sentiasa bermuhasabah tentang kehidupan ini.  Rebutlah peluang untuk membersihkan diri dan bertaubat pada penghulu segala hari dengan menyiapkan diri dengan pakaian dan hati yang bersih sebagai persedian menjadi tetamu Allah pada hari Jumaat yang mulia ini. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Jumaah ayat 10:

Bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.”. (Surah al-Jumaat ayat 10)