saiz teks :
warna teks :
Original Merah / Red Biru / Blue Hijau / Green
You are here:  
COM_CONTENT_PUBLISHED_DATE_ON
Print

Dalam kalendar Hijrah khususnya sepuluh hari awal dari bulan Zulhijjah adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan. Firman Allah SWT:

"Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh" (Al-Fajr: 1).

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).

Amalan-Amalan Utama

Antara amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ialah Zikir (Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah dan Allahu Akbar). Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu”. (Al-Hajj: 28)

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.
 
Amalan yang kedua ialah puasa. Umat Islam yang tidak menunaikan fardhu Haji amat digalakkan untuk berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah. Tarikh 9 Zulhijjah iaitu Hari Arafah pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa. Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah: "Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim). Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

Ketiga ialah melakukan lain-lain amalan seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.
 
Seterusnya pula dengan menjauhi maksiat. 10 hari awal Zulhijjah juga merupakan masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersuka ria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarilah bahawa hidup ini hanyalah sementara dan seluruh keseronokan itu adalah tipu daya syaitan semata-mata.

Kelima ialah takbir: Saidina Ali menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.

Yang terakhir ialah  ibadah korban : Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dan berdoalah dan berkorban".

"Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) malah ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)

Hadis Nabi SAW: "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang)". (Riwayat At-Tirmidzi dan Abu Daud)

Potong Kuku, Rambut & Hukum Qurban

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a,  Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya wajib bagi mereka yang berkemampuan.
Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith:

“Barangsiapa yang ingin menyembelih (korban), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya sehinggalah sampai korban itu dilaksanakan" (Riwayat Muslim)

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya. Bagaimanapun ia tidaklah termasuk dalam kategori haram. Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain ibadah yang wajib.

Tidak dibenarkan juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedekahkan atas niat korban. Tatkala itu, ia dianggap sedekah biasa sahaja dan bukannya korban yang disyariatkan pada hari raya Aidiladha. Pahala Korban adalah jauh lebih hebat dari bersedekah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain. Adalah diingatkan jua agar meniatkan korban itu hanya kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk sekadar sedekah daging atau lain-lain. Firman Allah SWT:
 
“Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj: 37)
 
Kongsi Lembu

Menurut majoriti ulama hukumnya HARUS untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi SAW:
“Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan”.

Binatang Terbaik Untuk Kurban

Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 (sepertujuh) dari unta, lembu atau kerbau. Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

Pembahagian Daging

Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan seperti berikut :
1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berkorban;
1/3 (sepertiga) kepada fakir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan;
1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.

Ia berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj: 28)

"Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj: 36)

Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibnu Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Bagaimanapun adalah dilarang untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia dibenarkan jika dia termasuk dari kalangan fakir miskin atau diberikan secara suka rela orang ramai sebagai hadiah. Majoriti ulama juga telah sepakat bahawa daging korban tidak boleh dijual.
 
Memberi Daging Korban Kepada Orang Kafir

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedekah wajib. Oleh yang demikian, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini.

Kesimpulannya, ibadah korban sempena hari raya Aidiladha ini adalah amalan yang sangat dituntut (sunat muakkad) dalam Islam kerana kelebihan dan manfaatnya adalah sangat besar disisi Allah SWT. Ayuh umat Islam semua mari berkorban, jangan bertangguh lagi. Wallahu a’lam.

 *Sumber: www.zaharuddin.net