saiz teks :
warna teks :
Original Merah / Red Biru / Blue Hijau / Green
You are here:  
COM_CONTENT_PUBLISHED_DATE_ON
Print

Definisi hidayah dari segi bahasa ialah lawan kepada sesat atau kesesatan iaitu dengan makna memberi penerangan, petunjuk, penjelasan dan suluhan.

Manakala dari segi istilah pula para ulama memberikan pengertian yang berbagai-bagai apabila merujuk kepada al-huda. Al-Azhari berkata al-huda ialah “mengeluarkan sesuatu keada sesuatu”. Al-Raghib al-Asfahani mendefinisikannya sebagai “memberi petunjuk secara halus”. Ibn Qayyim al-Jauziyyah pula mentakrifkannya dengan “mengetahui kebenaran dan beramal dengannya”.

Definisi

Daripada definisi yang dinyatakan di atas boleh dirumuskan bahawa hidayah ialah cetusan halus yang dicampakkan Allah s.w.t menyerap masuk ke lubuk hati seseorang sehingga memiliki kekuatan dan mampu untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan diri demi kepentingan hidup di akhirat.
Al-Huda di dalam Al-Quran

Lazimnya kalimah yang sering disebut di dalam Al-Quran apabila merujuk kepada hidayah ialah al-Huda. Kalimah tersebut banyak digunakan kerana Al-Quran itu sendiri merupakan kitab hidayah. Ia dibawa dalam pelbagai bentuk kalimah fi’il (perbuatan) atau isim (kata nama). Seawal surah yang pertama, Al-Fatihah ayat 6, telah disebutkan tentang hidayah dalam bentuk uslub al-du’a yang bermaksud:

“(Ya Allah) kurniakanlah kami hidayah jalan yang  lurus”

Diikuti pula dengan surah kedua, Al-Baqarah ayat 2 – Allah s.w.t membuat perisytiharan bahawa Al-Quran sebagai sumber utama hidayah. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang  syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang kesempurnaannya), ia pula menjadi hidayah bagi orang-orang yang hendak bertakwa”

Sekurang-kurangnya terdapat 264 ayat Al-Quran yang menyebutkan tentang hidayah ini. Malah kalimah ini boleh dikatakan terkandung dalam setiap surah di dalam Al-Quran

Kepentingan Hidayah

Manusia tidak diciptakan Allah dengan tanpa tujuan. Bahkan Allah s.w.t telah menentukan matlamat hidup manusia untuk beribadat kepada-Nya. Melaksanakan apa yang disuruh merangkumi ketaatan dan kepatuhan  kepada syariat Allah dalam segenap aspek kehidupan dan urusan hidup. Manusia adalah Khalifah Allah di muka bumi. Justeru manusia bertanggungjawab memakmurkan buminya ini dengan segala kebaikan bukan memusnahkannya. Ini adalah amanah dari-Nya. Orang yang berjaya akan bergembira manakala golongan yang rugi akan dibalas dengan azab yang setimpal.

Allah s.w.t Maha Penyayang. Bagi mendapat maksud tersebut, Allah s.w.t tidak membiarkan manusia sendirian dan meraba-raba dalam kegelapan. Dilengkapi manusia dengan akal. Ia adalah sebahagian hidayah kurniaan-Nya.

Kitab Al-Quran diisytiharkan oleh Allah s.w.t sebagai kitab hidayah untuk manusia. Ia adalah sumber panduan utama kepada manusia untuk mendapat hidayah daripada Allah mengikut tingkatan dan martabatnya.

Jenis dan Tingkatan Hidayah

Secara umum, hidayah dapat dikategorikan kepada dua jenis utama iaitu hidayah umum berupa hidayah yang diberikan Allah s.w.t kepada semua makhluk-Nya untuk kemaslahatan hidup asas. Kedua ialah hidayah khusus yang diberikan Allah s.w.t khusus kepada manusia pilihan-Nya demi kepentingan hidupnya di akhirat. Ulama telah membahagikan tingkatan hidayah kepada 5 bahagian iaitu:

Hidayah al-ilham al-fitriy (ilham secara fitrah)

Nikmat hidayah ini dikurniakan Allah s.w.t kepada manusia dan haiwan sejak ia dilahirkan lagi. Firman Allah s.w.t dalam yang bermaksud:
“Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan). Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya. Dan yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayat petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya)” - surah al-A’la (ayat 1 - 3).

Hidayah al-hawas (pancaindera)

Iaitu hidayah yang dinikmati melalui pancaindera yang lima iaitu pendengaran, penglihatan, sentuhan, rasa dan bau. Ia adalah pelengkap kepada tingkatan hidayah yang pertama. Manusia dan haiwan serta serangga berkongsi dua hidayah pertama ini. Ibn Qayyim menjelaskan hakikat ini berasaskan kepada kisah Nabi Sulaiman dan semut sepertimana dirakamkan oleh Allah s.w.t dalam surah al-Naml ayat 18 dan 19.

Hidayah al-‘aql (akal)

Ia adalah hidayah tertinggi jika dibandingkan dengan dua hidayah yang pertama. Ia hanya diberikan kepada makhluk manusia kerana manusia adalah makhluk yang berkembang dan bertamadun. Manusia diberikan hidayah akal untuk menghadapi segala pancaroba hidup, membantu menyelamatkan diri daripada terjerumus ke dalam lembah penyelewengan dan kesesatan, membimbing naluri dan deria, serta memperbaiki kesalahan dan kesilapan yang didorong oleh kedua-duanya. Al-Quran kerap kali menggesa manusia berfikir dengan menggunakan lafaz ( يعقلونatau تعقلون). Bagaimana manusia boleh berfikir jika tidak diberikan kemudahan akal dan potensinya? Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah, ayat 44 yang bermaksud:

“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?”

Imam al-Alusi menjelaskan bahawa ayat ini adalah sindiran tajam Allah s.w.t kepada ahli al-Kitab yang gagal memanfaatkan potensi akal secara jujur dan benar sehingga mereka berterusan berada di landasan kesesatan dan berusaha pula mempertahankan kesesatan tersebut.

Hidayah al-Din (al-Islam)

Hidayah akal besar kemungkinan jika berlaku salah dan silap seterusnya mendorong seseorang terjerumus ke lembah kehinaan nafsu syahwat dan keseronokan dunia. Justeru, Allah s.w.t membentangkan hidayah al-Din kepada manusia untuk direbut. Al-Din disini ialah agama dan syariat Islam. Ia tidak sekali-kali akan tersalah. Hidayah ini adalah hidayah yang khusus. Tidak semua manusia diberikan hidayah ini. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam.” (Surah al-An’am, ayat 125).

Hidayah al-Ma’unah dan al-taufiq ke jalan kejayaan dan syurga di akhirat

Ia adalah hidayah yang lebih khusus daripada hidayah al-Din. Ia adalah khusus dan hak mutlak Allah s.w.t. Dia tidak memberikan kuasa memberikan hidayah ini kepada sesiapapun jua. Dia telah menafikan kuasa tersebut ada pada Nabi Muhammad s.a.w. Bahkan hidayah inilah yang diucapkan oleh ahli syurga. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan mereka pula bersyukur dengan berkata: Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufik-Nya)” (Surah al-A’raf, ayat 43).

Al-Raghib al-Asfahani menyatakan hidayah-hidayah ini berlaku secara tertib. Jika seseorang itu tidak berhasil mendapatkan hidayah al-‘aql, dia tidak akan mendapat hidayah berikutnya. Begitu juga jika seseorang tidak mendapat hidayah al-Din, dia pasti tidak akan mendapat hidayah al-taufiq. Sebaliknya jika sesorang telah mendapat hidayah al-Din bererti dia telah memperoleh hidayah-hidayah sebelumnya.

Golongan Yang Tidak Mendapat Hidayah

Berdasarkan ayat-ayat Al-Quran terdapat tiga golongan manusia yang terhalang dari mendapat hidayah Allah s.w.t. Mereka itu ialah orang-orang kafir, fasik dan zalim. Allah s.w. menyatakan bahawa Dia tidak akan memberikan hidayah kepada mereka yang bersifat sedemikian. Hidayah yang dimaksudkan disini ialah hidayah kepada iman.

Kesimpulan

Hidayah adalah sesuatu yang amat berharga dan tinggi nilainya dalam kehidupan manusia amnya dan Muslim khasnya. Seseorang yang dikurniakan hidayah di dunia ini bererti kebahagiaan hidupnya yang sejati telah hampir sempurna dan jika dikehendaki Allah akan disempurnakan di akhirat kelak. Justeru, seseorang perlu berusaha gigih bagi mendapatkan hidayah agar tetap di dalam hati. Allah s.w.t telah berjanji kepada seseorang yang berjuang dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan hidayah akan diberikannya. Dan tidak mustahil seseorang dikurniakan hidayah jika ia telah melepasi sebab-sebab yang telah dinyatakan dalam Al-Quran. Pada masa yang sama mengawasi diri agar halangan-halangan cahaya hidayah untuk masuk ke dalam lubuk hatinya dijauhi dengan sedaya-upaya dan sepanjang masa kerana Allah s.w.t tidak sekali-kali menjadikan dua hati setiap rongga dada seorang manusia untuk menempatkan dua perkara yang berbeza sebagaimana firman-Nya di dalam surah al-Ahzab ayat 4 yang bermaksud:

“Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya..."