Kenapa Sambutan Valentine's Day Dilarang

COM_CONTENT_PUBLISHED_DATE_ON
Print

Fenomena sebahagian remaja menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan paling diminati dan sangat ditunggu untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan. Ia sebenarnya merupakan satu fenomena ajaib dan aneh kerana perayaan ini tidak pernah disisipkan secara rasmi di mana-mana kalender. Akan tetapi ia terus diingati dan diraikan saban tahun.

To be my Valentine?

Bagi mereka yang meraikan sambutan Valentine’s Day ungkapan ‘To be my Valentine’ sering bermain di bibir. Kebiasaannya ia diungkapkan oleh teruna kepada si dara dalam menzahirkan kecintaannya. Menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin yang mempunyai maksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”. Menurutnya lagi, kata ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi.

Sedar atau tidak, menurut Sweiger, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”, maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah secara terang melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan aqidah dan dimurkai Allah. Ini karena ia telah meminta seseorang menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.

Mengapa Mawar Merah?

Selain ucapan ‘To be my Valentine’ pemberian jambangan mawar merah oleh si teruna kepada si dara juga sering menjadi amalan pada Valentine’s Day. Ia dianggap satu simbol dalam menzahirkan kasih sayang ‘hakiki’. Sebenarnya perbuatan ini merupakan amalan kebudayaan Eropah dengan diselitkan kepercayaan aneh dan karut. Menurut satu mitos Rom kuno, mawar merah merupakan bunga kegemaran Venus, si dewi cinta. Dewi itu amat sinonim dengan memperingati kekasih. Ia langsung tiada kaitan dengan Islam dan hanya mitos karut. Amalan memberi bunga mawar merah ini sebenarnya mula dipopularkan pada tahun 1970an. Ia berlaku selepas Raja Charles II mengarang buku yang bertajuk ‘The Language of Flowers, yang menguraikan tentang amalan kebiasaan bangsa Persia yang mengungkapkan perasaan melalui bunga. Sejak itu pemberian mawar merah terutama pada saat Valentine’s Day amat popular. Tanpa mengetahui sebabnya ia terus menjadi amalan.

Sambutan Valentine’s Day Dilarang Kerana Hukumnya HARAM

Sebenarnya, majoriti tokoh agama telah menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan ini adalah HARAM dan bertentangan dengan ajaran Islam.” Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Valentine tidak digalakkan oleh agama Islam. Pengharaman dan larangan ini bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan atau dengki di atas aktiviti trend baru zaman moden ini. Tetapi ianya berlandaskan kepada apa yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi panduan seantero umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan diakhirat.

Sejarah Valentine’s Day

Menurut Rizki Ridyasmara di dalam bukunya, Valentine Day, Natal, Happy New Year, April Mop, Hallowen: So What?, para sejarawan masih tidak mempunyai kata sepakat berkenaan peristiwa apa sebenarnya menjadikan Hari Valentine terus diperingat. Tetapi daripada beberapa sumber sejarah terdapat beberapa versi pendapat yang amat popular berkaitan dengannya.

Pendapat pertama mengaitkan Sambutan Hari Valentine dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta (Queen of Feverish Love) bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun.

Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari itu mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih dua pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan diadakan perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka.

Pendapat Kedua pula mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II.

Pendapat Ketiga: Ia dirayakan bersempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol dimana St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam itu. Disebabkan sumbangan itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

Yang terakhir, pendapat keempat adalah berdasarkan apa yang dinukilkan oleh Geoffrey Chaucer, seorang penyair Inggris di dalam puisinya.  Sambutan Hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawannya pada 14 Februari.

Berdasarkan kepada versi-versi tersebut, ianya amat jelas tiada hubungan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan budaya kita mahupun agama bagi umat Islam. Malahan ianya amat terang lagi tersuluh mempunyai kaitan dalam memperlekehkan aqidah Islam dan orang Islam sendiri.

Kebejatan Acara Valentine’s Day

Sebenarnya bukan sekadar apa yang tersirat di sebalik amalan dan kepercayaan berkenaan Sambutan Hari Valentine ini sahaja amat keji dan perlu dihindari. Tetapi acara-acara jelek dan tidak boleh diterima oleh budaya manusia bertamadun, menjadikan ianya perlu ditolak dan dipadamkan dari takwim perayaan manusia madani dan memiliki pegangan aqidah yang suci. Lihatlah bagaimana saban tahun kebelakangan ini, media-media mendedahkan pelbagai acara dianjurkan bagi mengamatkan Sambutan Hari Valentine, khususnya kepada kalangan muda mudi. Ianya dicatur berpaksikan kepada menzahirkan perasaan kasih dan sayang kepada pasangan masing-masing. Amat jijik dan jelek sekiranya difikirkan dengan akal pemikiran yang waras. Bagaimanakah seorang kekasih boleh menyerahkan dan melakukan apa sahaja untuk kekasihnya tanpa ada sebarang ikatan demi membuktikan perjanjian cinta? Akan tetapi, apa yang amat mendukacitakan, acara tidak bertamadun dan tidak bermata dalam menilai kehormatan sesama insan itu tetap mendapat sambutan. Ia sukar dibendung. Jauh sekali untuk dibersihkan sepenuhnya. Kesedaran pemikiran yang waras tercabut dengan hayalan dan dongengan dek janji indahnya kasih sayang tanpa ada suluhan kebenaran yang hak.

Berdasarkan kepada apa yang telah terjadi, sebenarnya Hari yang bertemakan kepada menyanjungi dan mengagungi kasih sayang di kalangan para kekasih menjadi hari permulaan bermulanya bencana dan kehancuran. Sememangnya pada Valentine's Day akan muncul si Romeo dan si Juliet yang mampu mengungkapkan bait-bait puisi seindah puisi William Shakespeare. Tidak kurang pula juga mereka yang sehebat si Laila dan si Majnun dalam bergelumang memperjuangkan kesetiaan cinta dengan bibir mengalunkan kata-kata puitis seindah puisi Jamaludin Rumi. Itu semua hanya seketika dek karamnya mereka di dalam bahtera gelojak nafsu tanpa nakhoda keimanan. Keindahan detik ‘syurga’ ciptaan penuh tipu daya hanya wujud pada hari itu sahaja. Ia akan ghaib entah ke mana setelah berakhirnya Valentine’s Day. Penderitaan, kekecewaan dan penyesalan akan menyelusuri. Ia akan menggantikan nikmat yang tidak seberapa. Si Romeo yang menjanjikan seribu kesetiaan menjadi halimunan bersama janjinya. Si Majnun yang menaburkan selangit pengorbanan demi kasih, cinta dan setia bisu dan ghaib entah kemana. Ia sudah terlambat untuk diatasi. Nasi sudah menjadi bubur. Cempedak sudah menjadi nangka. Kekesalan sudah tiada gunanya.

Zahirkan Cinta Ikut Acuan Islam

Islam sebagai agama fitrah dan sempurna, sentiasa menganjurkan kasih sayang sesama kekasih. Ini dapat dilihat melalui apa yang diungkapkan di dalam Kitab Al-Quran dan dijelmakan oleh Rasulullah s.a.w. bongkarlah khazanah yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w itu bagi mencarinya. Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang diantara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir. Tetapi ia perlu diikat dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi. Ikatan itu dinamakan sebagai perkahwinan. Ia bukan bertujuan menyusahkan hubungan sesama manusia. Akan tetapi, ia hanya bermatlamatkan menjadikan masyarakat yang stabil, aman dan harmoni. Keindahan dalam menzahirkan kasih sayang itulah yang dianjurkan oleh Islam dan perlulah disemai dan dibajai setiap hari tanpa perlu menunggu detik satu hari dalam setahun.

Penutup

Bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan dengan aqidah dan syariah sempena Valentine’s Day ini perlulah disemaikan dalam setiap minda kita agar mewar-warkan larangan Sambutan Valentine’s Day dari terus diraikan oleh umat Islam khususnya di negara ini. Marilah kita umat Islam mengelakkan diri dari terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang menyalahi aqidah, syarak dan tamadun manusia ini.