saiz teks :
warna teks :
Original Merah / Red Biru / Blue Hijau / Green
You are here:  
COM_CONTENT_PUBLISHED_DATE_ON
Print

Dalam kehidupan seharian Rasulullah SAW sentiasa bertemu dengan pelbagai ragam dan karenah para sahabat yang terdiri daripada bebagai lapisan keturunan masyarakat dan kedudukan. Keadaan ini memerlukan kebijaksanaan Baginda mengatasi permasalahan semasa termasuk dalam member teguran untuk membetulkan kesilapan.

Kaedah Menegur

Terdapat beberapa kaedah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW berdasarkan penelitian terhadap beberapa hadis yang dapat dijadikan panduan. Sebenarnya dalam menyampaikan dakwah Rasulullah SAW masih banyak lagi cara atau kaedah lain, ini bermakna bukanlah kaedah yang dikemukakan dalam penulisan ini sahaja merupakan manhaj yang digunakan oleh Rasulullah SAW tetapi masih banyak kaedah lain yang digunakan oleh Baginda dalam melaksanakan dakwah pada zamannya. Berikut merupakan antara kaedah yang digunakan oleh Rasulullah:

Bersegera membetulkan kesilapan.

Tugas utama Rasulullah SAW ialah at-Tabligh iaitu menyampaikan. Di mana Rasulullah SAW berada, baginda berperanan mengajak manusia kepada ajaran Islam dan akan membetulkan setiap kesilapan yang dilihat, didengari atau diketahui. Rasulullah SAW mengimplimentasikan sifat Shidiq, Amanah, Tabligh dan Fathanah dalam tugas dakwah Baginda pada setiap masa. Sifat Fathanah Rasulullah SAW amat menyerlah ketika Baginda berhadapan dengan masyarakat. Baginda berkomunikasi dengan seseorang berdasarkan tahap akal dan intelek dalam mematangkan minda seseorang yang didakwahkan.

Berlandaskan sifatnya sebagai Rasul, Baginda SAW tidak akan berlengah-lengah untuk menegur apa jua kesilapan yang berlaku, kerana sikap berdiam diri dan berlambat-lambat dalam membuat teguran dibimbangi akan berlaku salah anggapan di kalangan sahabat Baginda SAW.

Menegur kesilapan dan menerangkan hukum.

Apabila Rasulullah SAW melihat sesuatu kesilapan yang berkaitan dengan hukum-hakam, maka Baginda SAW akan menegurnya serta menerangkan hukumnya. Contohnya kisah yang terdapat di dalam hadis berikut:

Maksudnya: “Daripada Jarhad RA bahawa Rasulullah SAW melintasinya sedang dia mendedahkan pahanya. Maka Rasulullah SAW pun bersabda: “Tutuplah pahamu kerana ia adalah aurat.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Hadis ini menjelaskan bahawa paha yang terdedah itu adalah aurat yang wajib ditutup oleh setiap orang yang beriman sekalipun dia seorang lelaki, kerana aurat lelaki adalah dari pusat hingga ke lutut.

Tidak cepat menyalahkan seseorang.

Dalam menangani sesuatu yang memerlukan Rasulullah SAW mengadili dua belah pihak, Rasulullah SAW akan mendengar hujah dan kenyataan kedua-dua pihak sebelum menegaskan pihak yang  bersalah. Rasulullah SAW tidak akan membiarkan mana-mana pihak, sekalipun salah satu mempunyai hubungan yang lebih rapat dengannya seperti kenyataan yang terdapat di dalam hadis Umar RA:

Maksudnya: Daripada Umar RA berkata, “Aku mendengar Hisyam Ibnu Hakim Ibnu Hizam membaca Surah al-Furqan di zaman Rasulullah SAW. Lalu aku mendengar bacaannya, nyatalah dia membaca dengan huruf yang banyak yang tidak diajar oleh Rasulullah SAW kepadaku. Aku hamper-hampir menghalangya di dalam solat tetapi aku menahan diriku sehingga dia member salam, lalu aku pun memegang bajunya seraya berkata, “Siapakah yang mengajarkan engkau akan surah ini yang aku dengar engkau membacanya?” Dia menjawab, “Rasulullah SAW yang mengajarkan kepadaku.” Aku balik menjawab, “Engkau bohong.” Rasulullah SAW telah mengajarkan aku cara yang berbeza daripada bacaan engkau. Lalu aku mengheretnya menuju kepada Rasulullah, kemudian aku berkata, “Aku mendengar lelaki ini (Hisyam) membaca surah al-Furqan dengan huruf yang banyak tidak diajar oleh engkau kepadaku.” Rasulullah SAW menjawab,”Lepaskannya, bacalah wahai Hisyam!” Maka Hisyam pun membacanya dengan bacaan yang aku dengar dia membacanya (sebelum itu). Kemudian Rasulullah SAW berkata, “Demikianlah ia diturunkan.” Kemudian Baginda berkata:”Bacalah wahai Umar.”Lalu aku membacanya dengan bacaan yang telah diajarkan oleh Rasulullah kepadu. Lalu Rasulullah SAWberkata, “ Demikianlah ia diturunkan. Sesungguhnya al-Quran ini diturunkan dengan tujuh huruf, maka bacalah dengan bacaan yang mudah bagi kamu.” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menyelesaikan pertelingkahan yang melibatkan bacaan al-Quran tanpa berpihak kepada mana-mana  sahabat. Sekalipun Saidina Umar lebih rapat dengan Rasulullah SAW berbanding dengan Hisyam, namun Baginda mendengar dahulu bacaan Hisyam kemudian bacaan Saidina Umar sebelum mengeluarkan keputusan.

Menegur kesilapan secara praktikal.

Tidak semestinya orang yang melakukan Sesuatu kesilapan akan ditegur oleh Rasulullah SAW secara lisan sahaja. Bahkan ada ketikanya Baginda akan memperbetulkan kesilapan tertentu melalui tindakan Baginda sendiri sebagaimana kisah Rasulullah SAW mengajarkan cara berwuduk yang betul kepada Abu Jubair.

Maksudnya: "Daripada Jubair Ibnu Nufair daripada bapanya bahawa dia (Nufair) telah datang menemui Rasulullah SAW lalu Baginda menyuruhnya supaya dibawakan kepadanya air wuduk. Rasulullah SAW berkata, “Wahai Abu Jubair! Berwuduklah.” Maka Abu Jubair pun memulakan dengan mulutnya. Rasulullah SAW berkata, “Jangan mulakan dengan mulut kamu wahai Abu Jubair. Sesungguhnya orang kafir memulakan dengan mulut mereka.” Kemudian Rasulullah SAW meminta air wuduk, lalu Baginda membasuh kedua tapak tangannya sehingga memurnikannya, kemudian Baginda berkumur dan menghisap air ke hidung sebanyak tiga kali. Kemudian Baginda membasuh mukanya tiga kali. Seterusnya membasuh tangan kanannya sehingga ke siku sebanyak tiga kali. Tangan kiri juga tiga kali. Seterusnya menyapu kepalanya dan membasuh kedua-dua kakinya.”(Riwayat al-Baihaqi)

Rasulullah SAW melarang memasukkan air ke mulut sebelum membersihkan tangan terlebih dahulu kerana dikhuatiri kotoran yang terdapat pada kotoran tersebut berpindah ke mulut jika tangan tidak dibersihkan terlebih dahulu. Kesannya, kuman tersebut akan membawa penyakit dan dibimbangi akan membahayakan kesihatan seseorang.

Memperbetulkan kesilapan.

Apabila para sahabat melakukan perbuatan yang perlu ditegur oleh Rasulullah SAW sekalipun perbuatan tersebut tidak salah, maka Rasulullah SAW akan terus menegur serta member tunjuk ajar menggantikan perbuatan atau perkara yang sebelumnya sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis ini.

Maksudnya: Daripada Abdullah Ibnu Mas’ud, dia berkata, “Adakah kami apabila bersama-sama Rasulullah SAW di dalam solat, kami menyebu, “Salam sejahtera kepada Allah daripada hamba-Nya, salam sejahtera kepada si fulan, si fulan, salam sejahtera kepada Jibrail, salam sejahtera kepada mikail.” Lalu Nabi SAW berkata, “Jangan sebut, “salam sejahtera kepada Allah kerana Allah adalah sejahtera. Tetapi sebutlah, “Segala kemuliaan, selawat dan segala yang baik-baik hanya bagi Allah, salam sejahtera ke atas engkau wahai nabi, serta rahmat Allah dan keberkatanNya. Salam sejahtera keatas kami dank e atas hamba-hamba yang soleh. Apabila kamu menyebut yang demikian, kamu telah timpakan kepada setiap hamba di langit atau di antara langit dan bumi; Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah dan aku juga bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya ;kemudian dia memilih doa yang disukainya dan berdoa dengannya.’

Hikmah disebalik huraian hadis-hadis yang dinyatakan di atas adalah bertujuan untuk mendidik jiwa umat Nabi Muhammad SAW ke arah membina insan kamil yang beramal dan bertakwa kepada Allah SWT. Semoga kita mengambil pengajaran, iktibar dan panduan menerusi hadis-hadis Rasulullah SAW ini dan sentiasa mempersiap bekalan dan amalan yang secukupnya untuk menghadapi segala janji Allah SWT.