saiz teks :
warna teks :
Original Merah / Red Biru / Blue Hijau / Green
You are here:  
COM_CONTENT_PUBLISHED_DATE_ON
Print

Kehidupan kita hari ini yang dihidangkan dengan pelbagai barang makanan, minuman dan barang gunaan menuntut kita berwaspada dan berhati-hati dalam mengguna barangan tersebut kerana masalah halal dan selamat. Justeru itu, kewajipan menggunakan makanan dan barangan halal lagi baik amat penting dalam kehidupan kita seharian.

Allah SWT menjelaskan berhubung perkara ini di dalam surah al-Baqarah ayat 168:

Maksudnya: " Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa yang ada dibumi yang halal lagi baik; dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. "

Halal

Halal suatu makanan dan minuman itu ada berkaitan dengan sumbernya, cara pemprosesan, premis atau tempatnya. Jika ia berkaitan dengan haiwan, ia hendaklah disembelih mengikut ketentuan Syarak. Manakala haram suatu makanan dan minuman itu, bergantung kepada sumber dan bahannya, cara pemprosesannya dan keadaan premisnya. Misalnya makanan dan minuman yang diproses menggunakan/mengandungi bahan-bahan haram seperti lemak atau daging babi, anjing dan haiwan lain yang tidak disembelih mengikut syarak, darah, arak, najis, racun dan sebagainya.

Umat Islam dituntut supaya mencari yang halal. Mencari yang halal itu adalah wajib. Maknanya umat Islam disuruh mencari kalau ia makanan dan minuman carilah yang benar-benar halal lagi baik, yakni suci, bersih dan berkhasiat. Begitu juga untuk mencari dan memilih restoran, kedai makan dan gerai makan makan carilah dan pilihlah yang benar-benar dijamin halalnya, bersih, kemas dan menyenangkan selera. Ini selaras dengan anjuran Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Mencari yang halal itu adalah wajib bagi setiap orang Islam”. (HR Ibnu Abdil-Barr)

Teramat penting pengusahanya dipastikan adalah orang Islam. Termasuk tukang masak, pembantunya dan penting juga mereka mempunyai sifat-sifat jujur, amanah dan taqwa. Sebagaimana kisah di zaman Khalifah Umar Al-Khattab RA bila seorang pengembala kambing digoda supaya menjual kambingnya, kerana tuan atau taukenya tidak tahu kalau pun dia menjual kambing yang dijaganya itu, tetapi pengembala yang berhati bersih, jujur, mulia dan taqwa itu menjawab: Tidak! Sebah Ada Allah Yang Maha Melihat dan Maha Tahu.

Nilai seorang pengembala yang beramanah, tulus dan bertaqwa itu, jika ada pada para pengusaha restoran, peniaga, tukang sembelih, tukang masak, pekerja, pembantu dan seluruh umat Islam dan manusia.  Pasti  tidak akan timbul lagi penggunaan sijil dan logo halal yang palsu atau telah tamat tempoh oleh kalangan penguasa dan peniaga yang tidak beretika dan bertanggungjawab. Ingatlah pesan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Semua daging yang tumbuh dari harta yang haram, maka api neraka adalah lebih utama menyiksanya”. (HR At-Tirmizi)

Peringatan Rasulullah SAW ini, relevan sepanjang zaman. Rasulullah SAW amat kasih kepada umatnya supaya kita tidak disiksa oleh api neraka. Mudah-mudahan sikap kewaspadaan umat Islam terhadap halal haram ini akan menyelamatkan kita, anak isteri, ahli keluarga dan umat Islam seluruhnya dari siksaan api neraka. Hidup kita lebih sihat, bersih dan sejahtera. Jika badan sihat, akal dan jiwa akan sihat. Jika jasmani dan rohani kita sihat akan mudahlah kita melaksanakan ibadah dan pengabdian kita kepada Allah SWT. Jika seluruh umat Islam melaksanakan perintah ibadah dan pengabdiannya kepada Allah SWT pasti akan aman, makmur dan damailah alam ini, insya Allah.

Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan isu halal ini, beberapa faktor perlu diambil perhatian, iaitu:

Pertama : Bidang pengeluaran makanan dan barang gunaan serta perkhidmatan semakin maju. Di kalangan pengeluar berlumba-lumba mengeluarkan barangan dan perkhidmatan masing-masing dengan pelbagai kaedah yang menarik untuk tujuan pemasaran. Hakikatnya ramai di kalangan kita hanya mengetahui sebahagian sahaja daripada status halal, suci serta baik barang-barang makanan atau perkhidmatan yang dijual dipasaran. Masih banyak barangan makanan dan gunaan serta perkhidmatan di pasaran yang kita tidak tahu status halalnya. Sebagai contoh berleluasanya ubat-ubatan yang dikaitkan dengan kekuatan tenaga batin dan rawatan kecantikan yang dijual dikedai-kedai kaki lima. Begitu juga kempen-lempen perniagaan cepat kaya yang beroperasi melalui internet dan kaedah-kaedah biasa. Semuanya ini menuntut kita agar berhati-hati dari terjerumus kepada yang haram dan membahayakan diri.

Kedua : Kebanyakan kita umat Islam menjadi masyarakat pengguna bukan menjadi masyarakat pengeluar. Inilah satu cabaran besar kepada kita dalam menghadapi isu makanan dan barang-barang gunaan. Oleh itu,  menjadi fardhu kifayah kepada umat Islam menghasil dan mengeluarkan bahan makanan dan gunaan serta perkhidmatan untuk kegunaan harian kerana ini akan lebih menjamin kehalalan dan kesuciannya. Di samping berperanan memperkasa ekonomi umat Islam itu sendiri dan sekaligus mengelak pergantungan kepada masyarakat lain. Sesungguhnya inilah tanggungjawab fardhu kifayah yang perlu diperjuangkan secara bersepadu,  berterusan dan bersungguh-sungguh.

Ketiga : Pentingnya kesedaran tentang isu halal ini ialah kerana ia mempengaruhi tingkah laku kita. Kita bimbang jika makanan yang dimakan dan seterusnya bertukar menjadi darah daging adalah dari sumber yang syubhah atau pun dari sumber yang haram akan menjadikan kita manusia yang keras hati,  malas beribadah, sukar menerima kebenaran, sukakan maksiat dan sebagainya. Maka kesudahannya akan menerima padah azab seksa daripada Allah SWT.

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadith Rasulullah yang menjelaskan hal ini:

Maksudnya: " Sesungguhnya yang halal itu terang (jelas), dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat perkara-perkara yang syubhah (yang tidak terang halal atau haramnya) yang tidak diketahui oleh manusia. Orang yang memelihara dirinya daripada perkara syubhah itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatannya dirinya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara syubhah akan masuk ia ke dalam perkara yang haram laksana seorang pengembala dipinggir sebuah tempat larangan, yang akhirnya lalai dan masuk ia ke dalam tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja ada sebuah kawasan larangan dan tempat larang Allah itu adalah segala yang diharamkan. Ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging jika ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati."

Demi menjamin makanan, minuman dan barang-barang gunaan yang kita gunakan halal, suci dan selamat, terdapat beberapa langkah yang perlu dijadikan panduan bersama iaitu:

  1. marilah kita insafi betapa besarnya tuntutan syarak dalam memelihara halal dan haram.
  2. kita wajib memastikan makanan, minuman, ubat-ubatan dan barang-barang gunaan mempunyai logo halal yang sah.
  3. memastikan program-program dihotel adalah hotel yang memiliki sijil halal.
  4. memastikan makan minum hanya direstoran-restoran milik umat Islam.
  5. tidak melibatkan diri dalam sebarang perniagaan yang mengandungi unsur gharar (tipu) dan riba.