saiz teks :
warna teks :
Original Merah / Red Biru / Blue Hijau / Green
You are here:  
COM_CONTENT_PUBLISHED_DATE_ON
Print

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: “Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat : Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki DAYUS" (Riwayat Ahmad & An-Nasaie)

Dalam sebuah hadith lain pula yang maksudnya: “Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga : orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan Si DAYUS yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya" (Riwayat Ahmad)

Malah banyak lagi hadith yang membawa makna hamper sama dengan dua hadith di atas. Oleh itu, secara ringkasnya, apakah dan siapakah lelaki dayus ini?

DEFINISI DAYUS

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:

Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah S.A.W berkata: "Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaiatu Si DAYUS, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak" lalu sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu DAYUS?, berkata Nabi: "iaitu orang yang tidak memperdulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya) - (Riwayat At-Tabrani)

Dari hadith di atas, kita dapat memahami bahawa maksud lelaki DAYUS adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh lelaki lain.

 

PENERANGAN ULAMA TENTANG LELAKI DAYUS

Berikut adalah beberapa tafsiran oleh para ulama berkenaan istilah Dayus:

Ertinya: "seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya). Imam Al-‘Aini pula berkata : "Cemburu lawannya dayus."

Berkata pula An-Nuhas: “cemburu (iaitu lawan kepada dayus) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya dari ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram."

Menurut Imam Az-Zahabi: “Dayus adalah sesiapa yang menyangka (atau mendapat tanda) bahawa isterinya melakukan perkara keji (seperti zina) maka ia mengabaikannya kerana cintanya kepada isterinya, maka tiada kebaikan untuknya dan tanda tiada kecemburuan (yang diperlukan oleh Islam) dalam dirinya."

Imam Ibn Qayyim pula menyatakan: “Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat (protective) atau kecemburuan ( terhadap ahli keluarga) , dan barangsiapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga terjauh dari kejahatan dan perkara keji, tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota ( terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.”

DAYUS ADALAH DOSA BESAR

Ulama Islam juga bersetuju untuk kategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar:

Maksudnya: Allah telah melaknat lelaki dayus ( laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu dari isterinya dan diharamkan bergaul dengannya)

Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang terpakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki ini.

CEMBURU DITUNTUT ISLAM DAN JANGAN MARAH

Terdapat segelintir isteri yang sering menyalahkan suami kerana terlalu cemburu. Benar ‘cemburu buta’ itu memang menyusahkan. Tetapi dalam hal ehwal rumahtangga, apabila suami bertanya kepada isteri itu dan ini, adalah dinasihatkan agar isteri janganlah cepat untuk melenting atau memarahi suami anda yang melakukan tindakan demikian. Jangan juga rasa kecil hati lantas membuat kesimpulan bahawa suami sudah tidak percaya kepada diri anda. Kerap berlaku, suami akan segera disalah erti sebagai ‘tidak mempunyai kepercayaan' kepada isteri.

Sebenarnya, kita perlu memahami bahawa ia adalah satu tuntutan dalam Islam dan menunjukkan anda sedang memiliki suami yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya. Selain itu, bergembiralah sang suami yang memperolehi isteri solehah kerana suami tidak lagi sukar untuk mengelakkan dirinya dari terjerumus dalam lembah kedayusan. Ini kerana tanpa sebarang campur tangan dan nasihat dari sang suami, si isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Dari tanda kebahagian anak Adam adalah memperolehi wanita solehah ( isteri dan anak)" ( Riwayat Ahmad)

Memang amat beruntung, malangnya di akhir zaman ini tidak mudah memperolehi isteri yang solehah. Ia adalah sebagaimana sukarnya mencari suami yang tidak dayus.

BILA LELAKI MENJADI DAYUS?

Secara mudahnya, kita dapat lihat ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila:

  • Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.
  • Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantarnya pulang ke rumah.
  • Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuan dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan auratnya terlihat.
  • Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.
  • Membiarkan anak perempuannya berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'spoting' dan memahami.
  • Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.
  • Membiarkan isteri keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.
  • Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktiraf oleh Islam seperti menyelamatkannya dari lemas dan yang sepertinya.
  • Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.
  • Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.

Banyak lagi situasi yang boleh digambarkan tentang permasalahan dayus ini. Yang penting, ‘Dayus’ ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya. Namun jika ia berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit 'Dayus' ke atas dirinya.

Wahai lelaki beriman, jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini. Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori DAYUS yang tiada ruang untuk ke syurga Allah S.W.T. Sayangi dan jagalah diri dan keluargamu dari api neraka.

Akhirnya, wahai para suami dan ayah, pertahankanlah agama isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian kerananya. Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: "Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid" (Riwayat Ahmad)