saiz teks :
warna teks :
Original Merah / Red Biru / Blue Hijau / Green
You are here:  
COM_CONTENT_PUBLISHED_DATE_ON
Print

Fenomena masa kini yang menjadi kegilaan masyarakat terutama anak muda dan remaja ialah menghabiskan melayari laman sosial seperti Facebook, Twitter, MySpace dan Friendster.

Bermula dengan Friendster sebagai laman sosial popular menghubungkan sesama rakan sekitar tahun 2003, ia mula merudum apabila Facebook mula muncul dan menjadi popular di kalangan pengguna terutama remaja lingkungan 14 hingga 24 tahun sekitar tahun 2006. Sejak itu, segenap lapisan masyarakat tidak kira peringkat umur, latar sosial turut menyumbang kepada statistik sebagai pengguna facebook. Menurut statistik oleh facabaker.com yang dikeluarkan pada Oktober 2010, pengguna facebook di Malaysia adalah seramai 8.9 juta orang menjadikan Malaysia Negara ke-16 paling ramai pengguna Facebook. Apabila dilihat dari segi populasi, Malaysia berada di tangga ke 8 dengan 31 peratus rakyat ini mempunyai akaun facebook dengan menghabiskan purata 9 jam seminggu untuk melayari laman sosial ini. Sehingga Mei 2011, jumlah penggunanya sudah mencecah seramai 666 juta orang termasuk 10.6 juta dari Malaysia di mana seramai 3.5 juta darinya berusia dalam lingkungan 18 tahun hingga 24 tahun.

Kemaskini Status Kongsi

Mengemaskini status menjadi intipati penting kepada pengguna Facebook. Adakala juga status akan dikemaskini lebih daripada sekali setiap hari. Dapat pula kita lihat pelbagai ragam status di setiap dinding facebook masing-masing. Ada yang berbentuk curahan hati yang sedang dilanda kekecewaan dan duka nestapa. Ada yang meratapi nasib hidup sehingga menyalahkan takdir. Ada yang meluahkan rasa bahagia diulit cinta seorang kekasih. Tidak kurang juga yang berkongsi aktiviti harian yang padat seperti diari seorang Yang Berhormat. Bagi yang rajin mengemaskini status, facebook seolah-olah menjadi biografi segera yang memaparkan segala emosi dan perjalanan hidup yang dilaluinya. Ia boleh dibaca oleh semua orang yang mempunyai akaun facebook sekiranya tidak ditapis. Begitu juga, segala macam gambar yang dimuat naik turut menjadi paparan kepada setiap individu yang boleh mengakses akaun sama ada sebagai rakan atau pun umum sekiranya tidak ditapis.

In Relationship?

Status perhubungan sudah pasti menjadi untuk diberitahu agar tiada pihak yang tersalah anggap atau menjelaskan lagi batas-batas pergaulan sesama rakan di laman sosial terutama apabila seseorang itu suami, isteri atau tunangan orang. Namun, bagi sesetengah remaja yang tidak berfikir panjang telah dengan sewenang-wenangnya meletakkan status mereka seperti bertunang, berkahwin atau bercerai sedangkan mereka masih belum mempunyai apa-apa ikatan dengan perhubungan seperti itu. Terdapat juga yang memilih ‘open relationship’ sebagai status tapi berapa ramai yang tahu maksud sebenar status itu? Menurut Wikipedia dalam menjelaskan maksud open relationship:

An open relationship is a relationship in which the people involved agree that they want to be together, but in which romantic or sexual relationships with additional people are accepted, permitted or tolerated.

Open relationship ialah sebuah hubungan di mana mereka yang terlibat bersetuju yang mereka mahu bersama, di mana hubungan romantis dan seksual berlaku dengan kehadiran orang lain diterima, dibenarkan atau ditoleransi. Dalam erti kata lain, orang yang meletakkan open relationship sebagai status mereka tidak kisah melakukan hubungan seksual dengan sesiapa pun, maka amat menyedihkan apabila umat Islam sendiri menggunakan status ini., Ketahuilah ianya bukan bahan jenaka dan kelakar yang boleh dibuat gurauan sesuka hati.  

Kesan

Sedar atau tidak, penggunaan Facebook secara berlebihan boleh menyebabkan masalah kemurungan dan ketagihan? Mungkin ia berbunyi seperti jenaka, tetapi penyelidik di Universiti Stony Brook di New York telah mendapati bahawa penggunaan Facebook terlalu banyak boleh meningkatkan tahap kebimbangan dan kemurungan. Dalam satu kajian, sekumpulan kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun telah dinilai oleh psikologi profesor Dr. Joanne Davila dan mendapati mesej segera dan rangkaian sosial sangat mudah bagi remaja untuk menjadi lebih cemas, yang boleh membawa kepada kemurungan."

Berapa jam kita menghabiskan masa melayari Facebook? Menurut Larose dan Eastin pada tahun 2004 menyatakan bahawa pengguna yang melayari Facebook melebihi 4 jam sehari dikatakan tergolong dalam kumpulan ketagih. Walaupun kajian UKM menyangkal dakwaan ketagihan Facebook di kalangan remaja dengan menyebut:

“Tujuan utama mereka melayari laman ini adalah untuk berkomunikasi dengan rakan sebaya dan juga berhubung semula dengan rakan lama. Facebook  juga didapati sudah menjadi suatu keperluan dan bukan lagi kerana ketagihan. Penggunaan Facebook juga harus dilihat dari dimensi yang baik seperti dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan kerana terbukti hubungan anak-anak dengan ibu bapa makin erat jika anak-anak memasukkan ibu bapa mereka sebagai rakan”.

Sekiranya tidak dikawal, Facebook boleh menyebabkan bencana dalam hidup seseorang remaja apabila tiada lagi ruang untuk bersosial di dunia sebenar bersama rakan dan keluarga, terpedaya dengan penipuan internet, dan sebagainnya. Tidak dinafikan, Facebook juga amat berkesan untuk menyebarkan pelbagai kebaikan. Dengan menulis status yang baik untuk dibaca seperti zikir, selawat dan berpesan-pesan dalam pelbagai perkara, bukankah pembacanya juga secara tidak langsung akan mengingati Allah dan mendapat pahala? Namun, akhirnya sebagai pengguna, kita sendiri perlu menentukan batas dan tujuan dalam memanfaatkan facebook itu sendiri.

Hukum

Hukum menggunakan Facebook juga bergantung kepada individu dan bagaimana ia dikendalikan. Hukum harus lebih tepat apabila kita bersandarkan pada kaedah al-Asl fi al-Asyia’ al-Ibahah iaitu asal kepada sesuatu perkara adalah harus. Namun perlu juga dilihat dari konteks penggunaannya. Ada yang hanya menggunakannya sebagai alat untuk berhubung dengan keluarga dan kawan-kawan yang lama terpisah. Mencari kawan baru bukanlah menjadi keutamaan. Malah ada yang tidak mahu ‘approve’ apabila mendapat friend request daripada individu yang tidak dikenali. Dalam setiap status atau info yang dikongsi pula sarat dengan peringatan dan kata-kata hikmah yang menyegarkan ingatan kepada sang Pencipta. Justeru, dalam hal ini, harus hukumnya mempunyai akaun facebook kerana dapat membantu menyambungkan silaturahim dan menyebarkan kebaikan.

Bagaimana pula dengan remaja yang menggunakan Facebook untuk menyebarkan keburukan dan maksiat? Tanpa memikirkan kesan dari sudut dosa pahala, gambar-gambar mendedahkan aurat dimuat naik sesuka hati, status memaki, mencaci dan menghina menghiasi dinding-dinding facebook mereka. Ini pula dapat dibaca oleh semua pengguna Facebook apabila terdapat kecenderungan di kalangan remaja untuk menerima orang yang tidak dikenali sebagai rakan. Terdapat juga pihak-pihak yang menggunakan laman sosial seperti Facebook ini dengan mencipta page yang mempromosikan kemaksiatan. Laman menonjolkan budaya tidak bermoral dan agenda menghina agama misalnya turut dicipta di Facebook. lebih malang lagi, ia didalangi oleh orang Islam sendiri. Jadi, keharusan tadi berubah pula menjadi haram. Haram mencipta haram juga mengikuti atau ‘like’ laman tersebut apatah lagi menyumbang komen dan idea yang bertentangan dengan norma masyarakat dan nilai agama.

Satu aspek lagi yang perlu dilihat ialah masa yang dihabiskan untuk melayari laman sosial dan internet ini. Pengabaian tanggungjawab dan tuntutan tugas akibat lalai melayari facebook akan memberi kesan kepada produktiviti. Para pelajar hilang tumpuan terhadap pelajaran, manakala para pekerja hilang fokus pada kerja kerana asyik melayan komen atau aplikasi di Facebook. Sekiranya ini berlaku, maka keharusan itu tadi juga telah hilang. Firman Allah bermaksud:

“Telah nyatalah kejayaan para Mukmin. Iaitu mereka yang di dalam solat mereka, khusyu’ mendirikannya. Dan mereka itu terhadap perkara-perkara yang melalaikan, mereka menghindarkannya”

(Surah al-Mu'minun, ayat 1-3)

Justeru, bijaklah dalam menggunakan Facebook untuk menyebarkan kebaikan dan mengelakkan daripada menyebarkan keburukan dan maksiat. Jadikanlah Facebook sebagai wadah untuk menyebarkan pengetahuan dan amal kebaikan serta hindari daripada menyebarkan maksiat dan menanamkam kebencian sesama manusia. Berpada-padalah dalam melayarinya agar tidak melalaikan daripada melunaskan tanggungjawab dan terjebak dengan masalah ketagihan yang pastinya akan mengundang pelbagai komplikasi emosi dan psikologi yang boleh menjejaskan kesihatan jasmani dan rohani.