saiz teks :
warna teks :
Original Merah / Red Biru / Blue Hijau / Green
You are here:  
COM_CONTENT_PUBLISHED_DATE_ON
Print

Kita sedia maklum bahawa pada bulan ini umat Islam menyambut dan mengingati kedatangan peristiwa Israk dan Mikraj, iaitu suatu malam yang bersejarah lagi luar biasa.

Pada malam tersebut, Rasulullah S.A.W telah melakukan perjalanan yang jauh, iaitu dari Mekah ke Baitu Maqdis Palestin. Kemudian, daripada tempat tersebut, Baginda naik ke langit yang dinamakan Mikraj. Dimulai dengan langit yang pertama, hinggalah ke langit yang ke tujuh. Selepas itu, Nabi Muhammad S.A.W naik ke Sidratul Muntaha pula, hingga sampai ke suatu tempat yang bernama Mustawa’. Perjalanan dengan roh dan jasad itu berlaku dalam masa yang amat singkat sekali. Menurut jumhur ulama’, terjadinya pada 27 Rejab, setahun sebelum Nabi Muhammad S.A.W berhijrah ke Madinah.

Peristiwa Luar Biasa

Peristiwa yang luar biasa itu merupakan satu mukjizat yang besar bagi Nabi Muhammad S.A.W kerana belum ada manusia yang melakukannya sebelum Baginda. Allah S.W.T merakamkan peristiwa tersebut dalam surah Al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud:

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari, dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya, Allah jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

Peristiwa Israk dan Mikraj ini mempunyai hubung kait dengan perintah menunaikan ibadat solat. Ibadah ini diperintahkan oleh Allah S.W.T, dengan menjemput Rasulullah S.A.W sendiri datang mengadap-Nya di Arasy, bukan dengan mengutuskan malaikat Jibril a.s untuk menyampaikannya ke dunia, seperti mana perintah menunaikan ibadah puasa, zakat dan haji.

Status ibadah solat, disisi Allah S.W.T adalah perkara utama dalam ibadah. Dengan berdirinya solat, maka tegaklah agama. Namun apabila meninggalkan solat, maka runtuhlah agama. Hadis daripada Umar al-Khattab R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Solat itu adalah tiang agama. Barang siapa yang mengerjakannya, bererti ia menegakkan agama, dan barang siapa yang meninggalkannya, bererti ia telah merobohkan agama”. (Riwayat al-Baihaqi)

Ibadah solat pada mulanya difardhukan sebanyak 50 kali solat, siang dan malam. Rasulullah S.A.W berulang kali mengadap Allah S.W.T untuk memohon supaya diringankan. Allah S.W.T memperkenankan permintaan Baginda dengan mengurangkannya kepada 5 kali sahaja. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Wahai Muhammad, itulah solat lima kali, setiap siang dan malam. Pada setiap sekali daripadanya, dikira sepuluh. Jika 5 kali, maka ia menjadi 50 solat.”

Ini menunjukkan bahawa solat itu hebat statusnya, iaitu hebat cara menyampaikannya kepada Rasulullah S.A.W, malah hebat juga cara melakukannya. Allah S.W.T menilai seseorang Islam sama ada baik atau tidak, melalui amalan solatnya. Amalan yang akan dihisab terlebih dahulu di hari akhirat kelak adalah amalan solat. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Persoalan pertama yang akan ditanya (dipertanggungjawabkan) kepada manusia di hari akhirat ialah solat. Apabila solatnya dapat diterima (oleh Allah), makan akan diterima seluruh amalannya, dan sekiranya solatnya ditolak (oleh Allah), makan akan ditolak seluruh amalannya”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Hadis ini memberi pengajaran kepada kita bahawa sekalipun seseorang itu melakukan puasa Ramadhan, membayar zakat, menunaikan haji, bersedekah kepada fakir miskin, berjasa besar kepada bangsa dan negara, namun jika tidak mengerjakan solat atau melalaikannya, maka seluruh amalan kebaikannya akan ditolak oleh Allah S.W.T.

Solat adalah suatu ibadah yang dilakukan dengan menggerakkan seluruh jasmani dan rohani. Manakala lisan pula mengucap kalimah-kalimah yang sangat indah, mengandungi pujian, penghormatan, dan harapan tinggi yang ditujukan kepada Allah S.W.T. Apabila setiap gerak badan dan bacaan yang kita lakukan dengan ikhlas, sempurna, khusuk dan penuh kesedaran, maka semuanya itu akan mempengaruhi diri, jasmani, rohani dan pemikiran serta akhlak sehingga solat itu benar-benar dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Firman Allah S.W.T dalam surat al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud:

“Dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedah dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan”.

Sementara bagi solat yang dikerjakan secara sambil lewa, sekadar untuk diketahui orang, tanpa kesedaran yang mendalam, bukan sahaja tidak mendapat keredhaan Allah S.W.T, tetapi sebaliknya akan mendapat kemurkaan Allah S.W.T. Solat seperti itu, tidak akan merubah dan memperbaiki akhlak seseorang.

Falsafah yang terkandung dalam ibadah solat adalah sangat banyak, antaranya:

  • Pertama adalah solat berjemaah. Sebelum solat dimulakan, imam dikehendakai memastikan sah jemaah berada dalam keadaan lurus dan rapat kerana kerapian sah tersebut termasuk dalam kesempurnaan solat berjemaah. Ini memberi pengajaran kepada kita bahawa betapa pentingnya peranan penyatuan yang terlaksana dengan rapi, lurus dan berdisiplin supaya tidak mudah ditembusi oleh musuh.
  • Kedua adalah arah solat mesti sama iaitu mengadap Kiblat (Kaabah). Dimana sahaja solat itu didirikan, tidak boleh menyimpang dari arahnya. Ini bermakna, dimana sahaja kita berada, walau dalam apa keadaan sekalipun, jangan sedikit pun menyimpang daripada landasan yang ditentukan Islam iaitu bersatu mematuhi ajaran Al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W.
  • Ketiga adalah solat sebagai Mikraj orang Mukmin. Ia mesti dilakukan dalam keadaan bersih daripada najis, sama ada badan, pakaian atau tempat tinggal. Ini bermaksud, orang Islam sentiasa mensucikan akidah daripada syirik dan khurafat, membersihkan seluruh amalannya daripada riak dan hasad dengki yang boleh menruntuhkan martabat serta kehormatannya sebagai manusia.

Namun malang sekali apabila terdapat segelintir dikalangan masyarakat Islam yang mempertikaikan kewajipan ibadah solat. Mereka menyatakan bahawa solat itu memadai dengan niat sahaja tanpa perlu berdiri, rukuk dan sujud. Terdapat juga yang berpendapat, solat boleh dijamakkan sepanjang hayat iaitu dilakukan tiga kali sehari semalam. Mereka menyatakan bahawa hidup di dunia ini adalah musafir. Orang musafir harus menjamakkan solat. Malah, ada yang lebih sesat lagi apabila menyatakan bahawa solat itu tidak wajib. Ia boleh diganti dengan membuat amal kebajikan sahaja sudah memadai.

Ajaran dan fahaman seperti ini sedang mempengaruhi segelintir masyarakat Islam yang cetek ilmu agamanya. Ajaran tersebut sudah difatwakan oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangir sebagai ajaran sesat.

Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah S.A.W telah diperlihatkan kepada satu kaum yang dihempap kepalanya dengan batu-batu besar. Setiap kali dihempap, kepala mereka berkecai. Kemudian bercantum semula seperti sedia kala. Hal ini terus-menerus berlaku tanpa henti. Rasulullah S.A.W bertanya kepada malaikat Jibril a.s tentang peristiwa tersebut, lantas Jibril a.s menjawab, “mereka itu adalah orang-orang yang sentiasa malas untuk menunaikan solat fardhu”. Demikianlah betapa dasyatnya seksaan kepada mereka yang malas dan suka meninggalkan ibadah solat.

Oleh itu, tiada ertinya beriman dengan peristiwa Israk dan Mikraj ini seandainya kita tidak tunjukkan dengan bukti iaitu menunaikan perintah Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W dalan peristiwa itu, iaitu kewajipan ibadah solat.

Oleh yang demikian, marilah kita menginsafi diri dan istiqamah dalam mendirikan ibadah solat. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang lalai. Tidaklah memadai dengan solat seminggu sekali sahaja iaitu solat Jumaat, tetapi melalaikan solat fardhu lima waktu sehari semalam.

Islam juga memerintahkan kita agar sentiasa memastikan ahli keluarga telah menunaikan solat termasuk isteri dan anak-anak. Justeru, kita disuruh memimpin dan memastikan anak-anak supaya menunaikan solat ketika berumur 7 tahun dan memukul mereka yang tidak menunaikannya ketika berumur 10 tahun. Allah S.W.T berfirman dalam surah Toha ayat 132 yang bermaksud:

“Perintahkan keluargamu serta umatmu mengerjakan solat. Dan hendaklah engkau bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah), kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa”. (Toha : 132)