saiz teks :
warna teks :
Original Merah / Red Biru / Blue Hijau / Green
You are here:  
COM_CONTENT_PUBLISHED_DATE_ON
Print

Sesungguhnya harta dan wang ringgit yang kita miliki pada hari ini adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada kita.

Jesteru, ia perlu diurus, dirancang dan dibelanjakan menurut panduan syariat bagi menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan kebahagiaan kita di akhirat kelak. Setiap wang ringgit yang kita perolehi dan belanjakan sudah pasti akan disoal di akhirat nanti. Inilah realiti yang wajar kita jadikan prinsip hidup kita dalam perancangan harta dan kewangan kita.

Jika kita lihat hadis daripada Abu Al-Bazarah Al-Aslami, menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak akan berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya tentang umurnya pada urusan apa dihabiskan, tentang ilmunya apakah telah diamalkan, tentang hartanya dari mana diperolehi dan ke mana dibelanjakan dan tentang tubuh badannya pada perkara apa yang digunakan”. (Riwayat At-Tirmidzi)

Oleh itu, dalam hadis di atas jelas dapat kita lihat betapa setiap wang dan harta kita akan dipersoalkan kerana ia adalah amanah milik Allah yang hanya dipinjamkan kepada kita. Lantaran itu kita perlu memastikan wang ringgit kita diurus dengan selamat serta tepat dengan perancangan kewangan yang kita sediakan.

Merancang Kewangan

Perancangan kewangan adalah suatu urusan penting yang perlu kita pastikan sebagai langkah menuju kejayaan dalam membina kehidupan yang cemerlang. Oleh itu, mereka yang merancang kewangan akan lebih terjamin keselesaan dan kebahagiaan hidup mereka. Hal ini juga adalah sebahagian daripada tuntutan agama yang perlu dibangunkan dalam kehidupan setiap muslim. Hanya dengan perancangan kewangan yang baik dan berjaya, seseorang akan mampu melakukan kebaikan dan sumbangan yang dimilikinya.

Antara langkah-langkah yang perlu dilaksanakan dalam perancangan kewangan setiap individu muslim ialah :

Pertama    :    Memastikan sumber pendapatan yang halal dan menggelakkan dari segala sumber yang haram seperti hasil riba, judi, rasuah, curi dan sebagainya. Langkah ini amat penting untuk memastikan keberkatan hidup di samping memastikan tahap kemampuan perbelanjaan bulanan kita.

Allah berfirman dalam surah Al-Nahl ayat 114 : “Oleh itu, makanlah daripada apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda-benda yang halal dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata”.

Kedua     :    Mengawasi perbelanjaan dan mengawalnya dengan baik. Utamakan keperluan asas sebagai nafkah diri dan keluarga, seperti makan minum, tempat tinggal dan bayaran pinjaman bulanan sebelum berbelanja untuk kegunaan lain seperti aktiviti keceriaan, percutian dan hiburan. Selain itu, senaraikan juga kos perbelanjaan yang utama untuk diselesaikan, setelah itu baki dari perbelanjaan tersebut barulah digunakan untuk perkara lain, sesuai dengan tahap kemampuan kita.

Di samping itu, setiap ahli keluarga perlu dididik agar bijak berbelanja untuk mengelakkan pembaziran. Jangan mudah menyerahkan wang ringgit kepada ahli keluarga tanpa kawalan dan tujuan yang pasti. Lihatlah saranan Allah SWT dalam surah An-Nisa ayat 5 yang tegas menyatakan : “Dan janganlah kamu serahkan kepada orang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang telah Allah jadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu. Berilah mereka belanja dan pakaian daripada hasil hartanya (yang kamu usahakan) dan juga berkatalah mereka dengan kata-kata yang baik”.

Ketiga     :    Peruntukkan sebahagian daripada harta kita adalah untuk membuat kebajikan untuk mengundang keberkatan dalam rezeki yang telah Allah kurniakan. Amalkan sedekah, membantu kaum kerabat yag memerlukan, menyumbang untuk kegiatan agama, kemasyarakatan dan sebagainya. Ingatlah bahawa dengan bersedekah rezeki kita akan ditambah dan diberkati. Bukankah setiap sedekah dan sumbangan yang kita hulurkan akan didoakan gantiannya oleh malaikat. Inilah keberkatan rezeki yang dijamin oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNYA yang sudi menyumbangkan sebahagian hartanya kepada golongan yang memerlukan. Hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

 “Tidak berlalu suatu pagi bagi hamba Allah melainkan akan turun dua malaikat (ke dunia), maka salah satunya berdoa : “Ya Allah, kurniakanlah gantian kepada orang yang menafkahkan hartanya). Lalu berdoa malaikat yang lain : “Ya Allah, musnahkanlah harta orang yang bakhil”.

Keempat     :    Peruntukkan sebahagian daripada wang yang diperolehi sebagai simpanan. Simpanan wang adalah perlu bagi menjamin kesejahteraan dan keselesaan di waktu kesempitan. Setiap muslim perlu memastikan dirinya sentiasa bersedia menghadapi hari-hari depannya dengan perancangan yang rapi dan persediaan yang ampuh. Dia juga akan sentiasa terpelihara dari sikap meminta-minta dan menagih simpati orang lain di waktu terdesak. Dengan wang simpanan ini juga, seorang muslim dapat merancang ekonomi keluarga dengan lebih baik. Islam juga menyarankan agar harta dikembangkan atau dilaburkan. Namun, aktiviti pelaburan itu mestilah menepati hukum syarak dan sah disisi Islam seperti pelaburan musyakarah dan mudharabah. Konsep musyakarah dan mudharabah ini mestilah dipatuhi rukun-rukunnya dan memenuhi syarat-syaratnya sepanjang pelaburan dijalankan.

Di samping itu, janganlah pula kita melupakan tanggungjawab kita terhadap harta yang dikurniakan Allah SWT kepada kita iaitu kewajipan menunaikan zakat. Hal ini kerana zakat berperanan membersihkan harta dan jiwa kita daripada noda dan dosa serta menambahkan keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.  Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah, ayat 103 yang bermaksud:

“Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka sebagai zakat, supaya dengannya engkau membersihkan dan menyucikan mereka (daripada dosa dan akhlak yang buruk); serta doakanlah untuk mereka. (Ini kerana) sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman jiwa bagi   mereka. (Ingatlah) Allah maha mendengar lagi maha mengetahui”.

Sebagai penutup, berikut merupakan beberapa kesimpulan yang boleh dijadikan sebagai pengajaran:

  • Pertama : Harta dan wang adalah amanah Allah yang dipinjamkan kepada manusia sebagai wasilah untuk mencapai kehidupan yang sejahtera dan diberkati. Oleh itu, hendaklah dibelanjakannya mengikut jalan yang diredhai Allah.
  • Kedua : Islam menggalakkan umatnya memiliki, menghasilkan dan merancang penggunaan harta dengan baik dan bijak sana bagi menjamin kebahagiaan mereka di dunia dan akhirat.
  • Ketiga : Islam menyarankan dikembangkan agar manfaatnya dapat dirasai oleh orang ramai menerusi zakat perniagaan, pelaburan dan sumbangan amal jariah.

“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah yang paling besar”. (An-Anfal : 28)