Kota Kinabalu, 24 September 2025 (Rabu) - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sabah yang diketuai oleh YBrs. Dr. Baharudin bin Othman, Pengarah JAKIM Sabah diiringi barisan pegawai telah mengadakan kunjung hormat kepada YB Datuk Dr Haji Mohd. Arifin bin Datuk Haji Mohd. Arif, JP, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Agama dan Exco Pendidikan Negeri Sabah. Kunjungan ini berlangsung di Pejabat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah.
Sesi kunjung hormat ini menjadi platform penting bagi perkongsian maklumat, memperkukuh hubungan strategik serta kerjasama yang lebih erat antara JAKIM Sabah dan agensi-agensi agama di negeri, khususnya dalam memperkasa agenda pembangunan syiar Islam, memperluas jaringan dakwah, serta memantapkan penyelarasan dasar dan program yang memberi manfaat kepada ummah.
Melalui pertemuan ini, kedua-dua pihak turut menzahirkan komitmen untuk terus memperkasakan usaha bersama demi kepentingan ummah, keharmonian masyarakat dan kesejahteraan negara. Diharapkan hubungan baik yang terjalin ini akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Hadir bersama dalam kunjungan hormat ini adalah YBhg. Datuk Jumain bin Abdul Ghani, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), YBhg. Datuk Ramlan bin Awang Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan YBrs. Tuan Janudin bin Jumat, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Inovasi dan Teknologi Digital KSTI.

Dari kanan: YBrs. Tuan Janudin bin Jumat, YBrs. Dr. Baharudin bin Othman, YB Datuk Dr Haji Mohd. Arifin bin Datuk Haji Mohd. Arif, YBhg. Datuk Jumain bin Abdul Ghani, YBhg. Datuk Ramlan bin Awang Ali.
