𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗦𝗘𝗠𝗣𝗘𝗡𝗔 𝗜𝗦𝗥𝗔𝗞 𝗠𝗜𝗞𝗥𝗔𝗝 𝗦𝗨𝗥𝗔𝗨 𝗞𝗣𝗞𝗣𝗦 𝗧𝗔𝗛𝗨𝗡 𝟮𝟬𝟮𝟲𝗠 / 𝟭𝟰𝟰𝟳𝗛
KOTA KINABALU, 29 Januari 2026 (khamis) – Program Sambutan Israk Mikraj bagi tahun 1447H/2026M telah diadakan pada hari ini bertempat di Surau Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah dengan kerjasama pihak Surau KPKPS.
Majlis dimulakan dengan kehadiran para jemaah bagi menunaikan solat Zohor secara berjemaah, yang menjadi simbol penyatuan dan kesepaduan warga kerja.
Agenda utama program diteruskan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Mohd Hariri bin Mohamad Daud. Dalam penyampaian beliau, Ustaz Mohd Hariri menekankan peri pentingnya mengambil iktibar daripada perjalanan Israk Mikraj sebagai sumber inspirasi untuk melakukan transformasi kendiri dan meningkatkan kualiti ibadah dalam kehidupan seharian.
Beliau turut mengulas mengenai peranan solat sebagai tunggak utama dalam membentuk disiplin, integriti, dan ketenangan jiwa yang secara langsung akan memberi impak positif kepada produktiviti dan etika kerja seorang penjawat awam.
Penganjuran sambutan kali ini bukan sahaja berjaya meningkatkan kefahaman mengenai sirah Nabawiyah, malah menjadi wadah yang efektif dalam memperkukuh tali silaturahim sesama warga KPKPS. Maklum balas positif daripada para hadirin menunjukkan bahawa program kerohanian seperti ini sangat diperlukan bagi mengekalkan kesejahteraan mental dan spiritual di persekitaran kerja.
