TUARAN, 7 April 2026 (Selasa) – YB Senator Timbalan Menteri Agama telah menyempurnakan lawatan kerja ke Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di sekitar Daerah Tuaran bagi meninjau perkembangan pendidikan Islam serta kualiti prasarana premis KAFA.
Lawatan yang bermula jam 2.30 petang itu merangkumi lima lokasi utama iaitu KAFA Kg. Indai, KAFA Kg. Bolong Lama, KAFA Perumahan Laya-Laya, KAFA Kg. Gayang, dan KAFA Kg. Batangan Baru. Fokus utama lawatan adalah untuk melihat sendiri hasil kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf premis yang telah menerima Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan Selenggara dan Naik Taraf Institusi Pendidikan Islam sejak tahun 2022. Selain itu, lawatan ini bertujuan menilai keberkesanan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), di samping menjadi platform untuk menyantuni para guru dan pelajar serta mengenal pasti keperluan semasa premis KAFA berkenaan.
Dalam siri lawatan tersebut, YB Senator Timbalan Menteri Agama menzahirkan rasa puas hati terhadap kemudahan prasarana yang kini lebih selesa hasil daripada Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan Selenggara dan Naik Taraf Institusi Pendidikan Islam. Beliau turut memberi pujian diatas komitmen serta sikap dedikasi tinggi yang diberikan oleh para guru KAFA dalam memastikan kelangsungan pendidikan agama buat pelajar KAFA di negeri ini.
Antara pengisian utama program termasuklah sesi taklimat oleh Penyelaras program, tinjauan proses PdP di dalam kelas, serta sesi interaksi santai bersama warga sekolah. YB Senator Timbalan Menteri juga berkesempatan menyampaikan sumbangan aidilfitri kepada para guru dan pelajar semas sesi lawatan tersebut.
Dalam amanatnya, YB Senator Timbalan Menteri menekankan bahawa pendidikan agama sejak usia muda adalah asas penting dalam pembentukan sahsiah dan jati diri modal insan. Beliau turut menegaskan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan institusi KAFA dan menggesa semua pihak untuk terus bekerjasama bagi memastikan pendidikan agama dapat berjalan dengan baik selari dengan Pendidikan akademik.
Lawatan ini diharapkan dapat memberi impak positif dan menyuntik semangat baharu dalam pembangunan pendidikan Islam, khususnya bagi institusi KAFA di seluruh Negeri Sabah. Usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang cemerlang bukan sahaja dari sudut akademik, malah kukuh dari aspek kerohanian.
#KAFASabah
#JAKIMSabah
#TerusMenaburBakti
#MalaysiaMadani
#MadaniMembantu
