YBTM Senator Marhamah Rosli – Lawatan, Perasmian KAFA, Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang KAFA An-Nur Iman dan Ziarah Kasih MADANI di Pulau Gaya
Pulau Gaya, Sabah | 20 Disember 2025 – Yang Berhormat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Puan Marhamah binti Rosli telah mengadakan lawatan kerja ke Negeri Sabah sempena program pendidikan dan kemasyarakatan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah di Kampung Torong Logong, Pulau Gaya.
Dalam lawatan tersebut, YB Timbalan Menteri telah merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang KAFA An-Nur Iman Kampung Torong Logong Tahun 2025 yang berlangsung di Balairaya Kampung Torong Logong dan dihadiri kira-kira 100 orang terdiri daripada pelajar, ibu bapa, guru KAFA serta penduduk setempat.
Majlis ini bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pelajar KAFA An-Nur Iman yang mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, sahsiah dan kokurikulum, selain meningkatkan motivasi pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih gemilang. Program ini turut menyemai nilai kesungguhan, disiplin dan kecintaan terhadap ilmu serta menghargai peranan guru dan ibu bapa dalam membimbing pelajar ke arah kecemerlangan.
Seramai 15 orang pelajar Tahap 1 dan Tahap 2 telah menerima anugerah kecemerlangan setelah memperoleh tempat pertama, kedua dan ketiga dalam kelas masing-masing, manakala dua orang pelajar telah dinobatkan sebagai Tokoh Pelajar atas prestasi cemerlang dalam aspek akademik, kokurikulum dan sahsiah.
Dalam rangka lawatan yang sama, YB Senator Puan Marhamah binti Rosli turut merasmikan wajah baharu KAFA Nur Iman Kampung Torong Logong, yang dijangka menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh pelaksanaan pendidikan Islam serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar KAFA di kawasan tersebut.
Sejurus selesai majlis perasmian, YB Timbalan Menteri telah menyertai Program Ziarah Kasih MADANI, iaitu antara program komited JAKIM Sabah yang dilaksanakan secara berterusan bagi tujuan menyantuni komuniti setempat serta mengeratkan hubungan antara agensi agama dan masyarakat, di samping memupuk nilai kasih sayang dan mempereratkan persaudaraan dalam kalangan ummah. Program seumpama ini turut selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, kasih sayang dan kepedulian sesama insan.
Melalui pelaksanaan program ini, sumbangan bakul makanan telah disampaikan kepada 10 orang penerima yang disantuni di Kampung Torong Logong serta lima orang penerima di Kampung Kasuapan. Selain itu, dua set kit jenazah turut diserahkan kepada Masjid Al-Hijrah melalui Pengerusi Masjid untuk kegunaan komuniti setempat. Program Ziarah Kasih MADANI ini dilaksanakan dengan sokongan rakan strategik iaitu Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Turut hadir dalam program tersebut ialah Dr. Baharudin bin Othman, Pengarah JAKIM Sabah, bersama pegawai-pegawai JAKIM Sabah, wakil JHEAINS, Penggerak Masyarakat Saudara Kita (PMSK), Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD), penyelia-penyelia KAFA, guru-guru KAFA serta pemimpin masyarakat setempat.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI melalui JAKIM dan rakan strategik dalam memperkasa pendidikan Islam, memperkukuh kebajikan ummah serta mempererat hubungan strategik antara kerajaan dan masyarakat di peringkat akar umbi, khususnya di negeri Sabah.

