Al-Quran terjemahan dalam bahasa Dusun pertama di dunia

Kota Kinabalu: Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim SeMalaysia (KDMRS Muslim) bakal mengedarkan 10,000 naskhah pertama al-Quran yang diterjemahkan dalam bahasa Dusun secara percuma untuk masyarakat etnik Dusun beragama Islam.

Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif KDMRS Muslim, Nicholas Sylvester berkata, edaran itu termasuk sebanyak 1,000 naskhah untuk masyarakat Dusun di Semenanjung Malaysia.

Katanya, usaha penterjemahan al-Quran bahasa Dusun dalam bentuk terbitan naskhah pertama di dunia memakan masa selama empat tahun bermula 2018.

"Pada 2020 diadakan bengkel penilaian terjemahan al-Quran serta penerbitan. Kemudian pada 2023 terjemahan al-Quran bahasa Dusun mendapat kelulusan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk pencetakan.

"Pasukan penterjemah al-Quran bahasa Dusun diketuai oleh Dr Joseph@Yusof Gimbad bersama pasukannya Ustaz Naim Majin, Ustaz Sulaimin Musinin dan Ustaz Esibi Lakui," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Terjemahan al-Quran dan Penterjemahan Empat Bahasa Etnik di sini, semalam.

Majlis dilancarkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Nicholas berkata, memahami peranan al-Quran dalam kehidupan seorang Muslim, KDMRS Muslim juga mengambil inisiatif untuk terus mengusahakan terjemahan al-Quran dalam bahasa etnik lain iaitu Kadazan, Murut, Rungus dan Sungai.

"Seperti yang kita sedia maklum, Sabah mempunyai bangsa, agama dan bahasa yang pelbagai khusus di antaranya dari rumpun Kadazan, Dusun, Murut, Rungus dan Sungai (KDMRS).

"Penganut agama Islam dari kalangan rumpun ini juga semakin bertambah," katanya.

Pada sidang medianya, Nicholas berkata, idea menerbitkan naskhah al-Quran terjemahan bahasa Dusun itu tercetus apabila pihaknya sering melihat dakwah yang disampaikan dalam bahasa Dusun di masjid kawasan pedalaman Sabah.

"Bila kita masuk ke pedalaman Sabah untuk urusan dakwah, kita jumpa masjid yang mana ada orang memberi ceramah dalam bahasa Dusun.

"Jadi kita melihat kepada keperluan itu dan mencari orang paling layak (pakar) untuk menterjemahkan (al-Quran) dalam bahasa (Dusun) yang standard," katanya.

Sementara itu, Dr Joseph@Yusof berkata, kerja penterjemahan dilakukan secara terus dari bahasa Arab ke bahasa Dusun agar mampu dihayati oleh etnik terbabit.

"Al-Quran ini sangat asli dari segi bahasanya malah menyentuh setiap bangsa dan etnik. Jadi apabila kira menterjemahkan al-Quran dalam bahasa etnik, etnik itu akan merasakan al-Quran juga diturunkan kepada mereka," katanya.

Katanya, penterjemahan al-Quran itu menggunakan bahasa Dusun Bunduliwan iaitu bahasa standard Dusun disamping ia antara bahasa Dusun yang kaya dengan kosa kata berbentuk rohaniah.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1076093/al-quran-terjemahan-dalam-bahasa-dusun-pertama-di-dunia

Pin It
Image

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Cawangan SABAH,
Aras 6, Blok A,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah,
Jalan UMS, Peti Surat 14725,
88400 KOTA KINABALU SABAH.

Tel : 088-488 641/642
Fax : 088-488 645
Email : jakimsabah@islam.gov.my

Total Visitors :

000123784

Latest Update :

  •  Monday 28 October 2024 

Disclaimer : The Islamic Development Department of Malaysia, Sabah Branch is not responsible for any loss or damage caused by using the information on this page.
Best View : Using the latest version of Microsoft Edge / Mozilla Firefox / Google Chrome / Safari or similar with a resolution of 1366 x 768 and above.