Sabah sedia peruntukan RM131 juta pembangunan sekolah agama Islam dan masjid - Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah memperuntukkan sebanyak RM131 juta tahun ini bagi memperkukuhkan lagi pembangunan dan operasi sekolah agama Islam dan masjid serta program kerohanian di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk terus menyokong program berkaitan pembangunan dakwah, sekali gus meningkatkan syiar Islam di negeri ini.

"Program berkaitan pembangunan Islam ini dapat kita perkasakan lagi dengan sokongan dan dukungan padu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan agensi-agensi agama Islam yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Al-Falah, Kepayan, di sini hari ini.
Katanya kerajaan negeri amat komited dengan program-program yang berkaitan dengan pembangunan syiar Islam di Sabah.

Hajiji juga mahu JHEAINS sentiasa mengambil tindakan proaktif melihat dan memantau keperluan masjid dan surau di negeri ini, termasuk kebajikan dan keperluan para imam dan bilal, selaku tonggak penting kepada institusi masjid.

"Kita mahu pastikan kebajikan dan keperluan mereka sentiasa dijaga dan diambil perhatian sewajarnya. Insya-Allah, kerajaan negeri akan sentiasa membuat pemantauan dan pertimbangan terbaik bagi memastikan institusi masjid di negeri ini dapat bergerak dengan berkesan dan cemerlang," katanya.

Menyentuh peranan masjid, Ketua Menteri menegaskan ia perlu diperkasakan seiring dengan modenisasi yang berlaku agar ia benar-benar berfungsi membangunkan insan dan masyarakat ke arah yang lebih progresif dan bertamadun tinggi.
Katanya, beberapa pendekatan harus diambil dan dijadikan keutamaan dalam usaha menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan insan terutamanya dalam membangunkan masyarakat Islam pada masa kini.

Beliau berkata, antaranya masjid hendaklah dijadikan pusat keilmuan dan kegiatan keIslaman dengan mengadakan pengajian ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.

"Selain itu, masjid juga hendaklah menganjurkan kelas-kelas ilmiah yang lain seperti pelajaran komputer, sains, matematik dan sebagainya. Bahkan, masjid juga perlu dijadikan sebagai pusat kegiatan hal ehwal wanita, remaja dan kanak-kanak, di samping menjadi pusat ekonomi dalam masyarakat setempat," katanya.

Sumber : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/sabah-sedia-peruntukan-rm131-juta-pembangunan-sekolah-agama-islam-dan-masjid-hajiji-465530

Pin It
Image

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Cawangan SABAH,
Aras 6, Blok A,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah,
Jalan UMS, Peti Surat 14725,
88400 KOTA KINABALU SABAH.

Tel : 088-488 641/642
Fax : 088-488 645
Email : jakimsabah@islam.gov.my

Total Visitors :

000123784

Latest Update :

  •  Monday 28 October 2024 

Disclaimer : The Islamic Development Department of Malaysia, Sabah Branch is not responsible for any loss or damage caused by using the information on this page.
Best View : Using the latest version of Microsoft Edge / Mozilla Firefox / Google Chrome / Safari or similar with a resolution of 1366 x 768 and above.