Guru sekolah tahfiz, pelajar USIM dinobatkan johan qari, qariah Sabah

PUTATAN: Guru sekolah tahfiz dan pelajar jurusan akhir bidang al-Quran dan Sunnah masing-masing dinobatkan sebagai qari dan qariah dalam Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al Quran Peringkat Negeri Sabah Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi, malam tadi.

Nashraf Ideen Nahar, 31, dan Nadirah Syazwani Sapari, 25, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 piala iringan, pakej umrah sumbangan Sawit Kinabalu, jam tangan sumbangan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan sepersalinan pakaian sumbangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Nashraf berkata, beliau bersyukur kerana usaha kerasnya kali ini membuahkan hasil selepas menyertai pertandingan sama beberapa kali sebelum ini.

"Sebelum ini saya pernah menyertai (tilawah Al Quran) lima kali, ini kali pertama jadi johan. Sebelum ini ada dua kali dapat tempat ketiga dan sekali dapat tempat kedua.

"Saya juga pernah menyertai (kategori) hafazan dan selalu ke peringkat kebangsaan. Alhamdulilah untuk (kategori) tilawah ini, berkat doa ibu bapa dan guru, saya berlatih dan berusaha sampai dapat ke tahap ini," katanya.

Bercakap mengenai latihan, Nashraf yang juga guru di Maahad Tahfiz Al Quran Ibnu Al Jazari di Beringgis itu berkata, beliau memperuntukkan masa sekitar dua hingga tiga jam setiap hari.

Namun, beliau yang juga imam Masjid Negeri Sabah itu turut mengambil kesempatan berlatih secara tidak langsung ketika mengajar dalam kelas.

Sementara itu, bagi Nadirah Syazwani, kemenangan itu dirangkul selepas penyertaan kali keduanya menyertai tilawah al Quran.

Menurut pelajar tahun akhir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu, beliau agak terkejut dan perlu berusaha lagi kerana akjan mewakili Sabah dan bakal bersaing dengan qariah lain di peringkat kebangsaan kelak.

"Ini kali kedua (bertanding dalam tilawah Al Quran). Kali pertama (menyertai tilawah Al Qura) sebelum ini pada 2021.

"Setiap hari siang dan malam, saya akan berlatih. Sekurang-kurangnya saya akan berlatih tujuh jenis taranum dalam setiap surah," katanya ketika ditemui pemberita.

Hadiah kepada johan qari dan qariah disampaikan oleh Yang di Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Nashraf dan Nadirah Syazwani bakal mewakili Sabah ke Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi di Pahang yang dijadualkan selama enam hari bermula 23 Mei ini.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/04/1239706/guru-sekolah-tahfiz-pelajar-usim-dinobatkan-johan-qari-qariah-sabah

Pin It
Image

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Cawangan SABAH,
Aras 6, Blok A,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah,
Jalan UMS, Peti Surat 14725,
88400 KOTA KINABALU SABAH.

Tel : 088-488 641/642
Faks : 088-488 645
Emel : jakimsabah@islam.gov.my

Jumlah Pelawat :

000123724

Kemaskini Terkini :

  •  Isnin 28 Oktober 2024 

Penafian : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Cawangan Sabah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Paparan Terbaik : Menggunakan versi terkini Microsoft Edge / Mozilla Firefox / Google Chrome / Safari atau seumpamanya dengan resolusi 1366 x 768 ke atas.